UPM–Mitsubishi Komited Dalam Usaha Memulihara Hutan Dan Flora Untuk Tahun Ke-2 | FAKULTI PERHUTANAN
» BERITA » UPM–Mitsubishi komited dalam usaha memulihara hutan dan flora untuk tahun ke-2

UPM–Mitsubishi komited dalam usaha memulihara hutan dan flora untuk tahun ke-2


BINTULU, 13 Feb - Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Mitsubishi Corporation untuk tahun ke-23 komited menganjurkan program pemuliharaan hutan di UPM Kampus Bintulu dalam usaha memulihara kehijauan flora.

Menteri Muda Pelancongan Sarawak, Dato’ Talib Zulpilip berkata  usaha UPM-Mitsubishi yang berterusan dalam pemuliharaan hutan itu bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh pelajar dan penyelidik UPM malah juga masyarakat untuk  menghargai kepentingan hutan pada masa kini.

“Saya berharap semua pihak akan terus bekerjasama dalam menjaga persekitaran hutan dalam usaha menghargai alam sekitar serta  menjadikan negara sebagai bandar hijau untuk kelestarian pada masa akan datang,” katanya pada majlis perasmian Tahun Ke-23 penanaman pokok hutan UPMKB bersama Mitsubishi Corporation di sini.

Menurut beliau lagi, program itu juga adalah platform untuk pelajar, penyelidik UPM serta pemegang taruh untuk berkongsi ilmu serta membangunkan teknik pemuliharaan hutan untuk mengekalkan keindahan kawasan hutan tersebut.

Perintis projek, Prof. Dato’ Dr. Nik Muhamad Nik Ab. Majid berkata kerjasama 23 tahun UPM dan Mitsubishi Corporation berganding bahu dalam menjayakan misi penyelidikan bagi memulihara ekosistem hutan hujan tropika dan perubahan cuaca global perlu dimanfaatkan oleh warga kampus.



“Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dari pihak Mitsubishi dan UPM akan membuka lebih banyak ruang penambahbaikan kepada masyarakat serta penyebaran pengetahuan khususnya mengenai persekitaran alam semula jadi,” katanya.

Sementara itu, seramai 350 sukarelawan dari Mitsubishi Corporation, Jepun, agensi luar, pensyarah kanan serta pelajar UPMKB mengambil bahagian dalam acara tahunan tersebut dalam menanam pokok-pokok hutan di kawasan tapak projek pemuliharaan Hutan UPM-Mitsubishi di UPM Kampus Bintulu, Sarawak.

Sejak tahun 1991, iaitu tahun pertama penanaman pokok, sebanyak 500,000 anak pokok daripada 126 spesis tempatan Sarawak telah ditanam dan kini kawasan tersebut merupakan ekosistem yang matang. Selain itu, sebanyak 100 plot tanah penyelidikan juga turut di dirikan pada kawasan tersebut.

Pada tahun 2008, penanaman model hutan tropika di lokasi yang sama seluas 27 hektar melibatkan penanaman 3,000 anak pokok hutan dari spesis utama.

Sebelum itu, UPM dan Yokohama National University, Jepun (YNU) telah menjalinkan kerjasama dengan UPM melalui projek penanaman pokok di UPM kampus Bintulu, Sarawak pada tahun 1990. Projek ini mendapat biayaan sepenuhnya dari Mitsubishi Corporation dari Jepun dengan peruntukan permulaan sejumlah RM 5 juta bagi tempoh empat tahun pertama.

Perintis konsep model hutan yang dibangunkan di Serdang adalah berdasarkan konsep yang berjaya dibangunkan di UPMKB berdasarkan concept of vegetarian association yang diperkenalkan oleh Prof. Dr. Akira Miyawaki dari YNM dan digabungkan dengan concept of accelerating natural vegetation oleh Dato’ Prof. Dr. Nik Muhamad Abd Majid, mantan Dekan UPMKB.

Penubuhan projek itu di Serdang dan Bintulu membolehkan pelbagai projek penyelidikan dijalankan bukan sahaja oleh para saintis dari Jepun, malah pelajar UPM (program pra siswazah dan pasca siswazah) serta pensyarah UPM (dari kampus Bintulu dan kampus Serdang). Antara penyelidikan utama yang dijalankan adalah sains tanah, kualiti air, entomologi, perubahan iklim, hidupan liar, kepelbagaian biologi, ekonomi, fisiologi dan patologi


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

LIHAT JUGA
FAKULTI PERHUTANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0000
SXDdBAl~