Aluan Dekan | FAKULTI PERHUTANAN
» MENGENAI KAMI » Dari Meja Dekan » Aluan Dekan

Aluan Dekan

 

Saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan anda ke Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Fakulti ini merupakan salah satu fakulti asas semasa penubuhan Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1971, yang kemudiannya ditukarkan nama ke Universiti Putra Malaysia pada tahun 1997. Sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi di dalam bidang perhutanan pada ketika itu, Fakulti Perhutanan telah menghasilkan rimbawan yang berkualiti tinggi bagi menampung keperluan negara dalam kedua-dua sektor awam dan swasta. Fakulti Perhutanan telah mendapat kerjasama daripada pakar perhutanan antarabangsa yang berada di bawah naungan beberapa agensi antarabangsa. Bersama-sama dengan pakar tempatan, Fakulti Perhutanan telah membina reputasi sebagai salah satu pusat pendidikan perhutanan tropika dan pusat penyelidikan yang unggul di rantau ini.

Dengan perubahan yang pesat dalam bidang perhutanan ianya menjadi semakin jelas bahawa program perhutanan secara tradisional tidak mencukupi bagi menampung permintaan khusus daripada sektor awam dan swasta. Sehubungan dengan itu,program Bacelor Sains Hutan telah diilhamkan dan Bacelor Sains Teknologi Kayu telah diperkenalkan pada tahun 2006. Dengan minat yang semakin berkembang di dalam bidang rekreasi luar di Malaysia, Bacelor Sains Taman dan Rekreasi mula ditawarkan pada tahun 2010. Kesemua program yang ditawarkan ini telah menjadikan Fakulti Perhutanan di UPM sebagai sebuah sekolah perhutanan yang paling lengkap di Malaysia. Bersama dengan peningkatan calon sarjana dan Doktor Persuratan (PhD) daripada dalam dan luar negara, Fakulti Perhutanan telah menyumbang kepada keperluan tenaga kerja secara berterusan di dalam bidang perhutanan secara menyeluruh.

Fakulti Perhutanan mempunyai jalinan yang luas dengan pelbagai universiti dan agensi di luar dan dalam negara yang telah dibina berdasarkan kesefahaman dan kerjasama yang erat bagi memudahkan mobiliti bagi para pelajar dan staf untuk menjalankan penyelidikan bersama, latihan praktikal dan sangkut kerja.  Melalui program mobiliti ini, pengalaman dan pendedahan yang diperolehi akan dapat membantu para pelajar mendapat perspektif global dalam bidang perhutanan. Staf Fakulti Perhutanan juga terlibat dengan kerja konsultansi dan aktiviti khidmat masyarakat, yang merupakan testimoni tambahan kepada kepakaran yang sedia ada di fakulti.

Legasi penubuhan Fakulti Perhutanan telah bermula sejak tahun 1971. Ianya telah berkembang menjadi sebuah pusat pendidikan perhutanan yang utama di dalam negara, dengan pelbagai bidang kepakaran dan fasiliti sokongan seperti Pusat Pendidikan Sultan Idris Shah (SISFEC). Fakulti Perhutanan di UPM mensasarkan untuk menjadi sekolah perhutanan yang paling dinamik dan relevan di dalam negara dan akan terus menghasilkan modal insan yang berkualiti, penyelidikan yang relevan dan khidmat masyarakat yang mensasarkan kepada perkembangan sektor perhutanan di dalam negara bagi mengekalkan kepentingan sosio-ekonomi.

 
Prof. Dr. Mohamed Zakaria Hussin
Dekan Fakulti Perhutanan

 


Kemaskini:: 17/11/2016 [s_ahyar]

PERKONGSIAN MEDIA

LIHAT JUGA
FAKULTI PERHUTANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697171
0397693768
B1566480670