UPM Lancar Buku Teks Pertama Berkenaan Hutan Hujan Tropika Di Malaysia | FAKULTI PERHUTANAN
» BERITA » UPM lancar buku teks pertama berkenaan Hutan Hujan Tropika di Malaysia

UPM lancar buku teks pertama berkenaan Hutan Hujan Tropika di Malaysia


SERDANG, 21 Mei (UPM) - Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melancarkan sebuah buku teks komprehensif pertama di Malaysia berkenaan perhutanan yang memfokuskan kepada hutan hujan tropika di negara ini.

Editornya, Prof. Dr. Jegatheswaran Ratnasingam, berkata buku teks yang telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato' Sri Dr. James Dawos Mamit pada 22 April 2014 boleh digunakan sebagai rujukan oleh semua golongan pembaca.

"Buku teks ini meliputi semua aspek bidang perhutanan termasuk jenis hutan, fisiologi, jenis tanah, penyakit, kepelbagaian tumbuhan dan haiwan, pengenalan kepada pokok, sumber air, penuaian, pengurusan hutan, isu berkaitan iklim, barangan kayu serta produk hutan seperti buluh dan rotan," kata beliau.

Para pengarang buku ini merupakan pakar dengan pengalaman akademik dan industri yang luas bagi memastikan fakta yang terkandung dalam buku tersebut berkualiti tinggi. Sasaran pembaca buku ini adalah pelajar dalam bidang perhutanan di UPM, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

"UPM telah mewajibkan sukatan pelajaran menggunakan buku teks ini bagi pelajar kursus perhutanan dalam tahun satu dan dua. Buku ini juga menyediakan senarai rujukan komprehensif yang berkaitan bagi membolehkan pembaca merujuk untuk mendapatkan kefahaman yang lebih dalam.

"Paling utama, para pelajar boleh menggunakan buku ini untuk rujukan. Setiap bab mempunyai pengenalan topik, kata kunci berkaitan, gambar dan graf, hasil dan senarai rujukan pembelajaran, sekaligus menjadikan ia sebuah buku teks kurikulum perhutanan yang sangat baik," tambah beliau.

Berikutan liputan topik yang meluas, buku ini mampu menarik minat di kalangan pembaca yang bukan dari bidang perhutanan dan juga orang awam. Buku ini juga turut diulas oleh pakar bidang sains perhutanan dari luar negara seperti Australia dan New Zealand.

"Setakat ini, sambutan hebat diterima di peringkat antarabangsa, terutamanya dari pertubuhan-pertubuhan perhutanan di rantau ini iaitu Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia," ujar beliau lagi.

Dr. Jegatheswaran yang mempunyai pengalaman 15 tahun dalam industri perkayuan, berharap buku tersebut bakal mendidik bukan sahaja pelajar dalam bidang perhutanan tetapi juga membolehkan orang ramai untuk mendapatkan kefahaman lebih baik mengenai hutan tropika di negara ini.

"Pada masa ini kami merancang untuk menganjurkan pameran bergerak, di mana kita boleh menjalankan program kesedaran mengenai perhutanan di sekolah-sekolah mengikut wilayah yang akan dibahagikan kepada empat kawasan dan disokong oleh Pertubuhan Perhutanan serantau," tambah beliau.

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

LIHAT JUGA
FAKULTI PERHUTANAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0000
SXDdPAy~